BAB 1
MATAHARI kian terik
memancarkan bahangnya. Penduduk kampung yang keluar bekerja kebanyakannya
sedang duduk berehat memandangkan sudah masuk waktu tengahari. Jelas sekali ada
kedamaian di situ.
Namun, kedamaian itu tidak berkekalan apabila suasana kampung tersebut
dicemari dengan suara pekikan cucu Tok Abi. Habis semua burung-burung yang
sedang berehat di dahan pohon-pohon rendang terbang melarikan diri-diri.
“Tok Abi!! Nek
Wan!!”
Nazak basikal tua milik Tok Abinya itu
dikayuh. Kalau perlahan tak apa, ini mengayuh macam nak tercabut roda basikal
tu. Dengan terpekik terlolongnya, macam kena histeria gayanya. Ni memang nak
kene tarbiah lagi nampaknya.
Tanpa menghiraukan laluan denai yang
tidak rata dan jambatan kayu yang hampir nak roboh, Hani terus-terusan mengayuh
basikal itu. Nasib baik Hani pakai seluar track suit dan t-shirt muslimah
lengan panjang, kalau tidak, sah-sahlah nampak betisnya yang gebu dan limite edition tu.
Skreeeeeeettt!!
Fuh, nasib baik sempat elak! Sempat lagi
hatinya berkata. Tanpa memasang niat ingin berhenti dan menoleh sekejap, Hani
tetap mengayuh.
Tudungnya yang berterbangan dek angin bagai
‘Superman’ tidak dihiraukan, senget-benget sekalipun kayuhannya tidak
menunjukkan tanda-tanda ingin berhenti namun semakin dilajukan. Apabila melihat
sebuah rumah kampung tidak jauhnya darinya, kayuhannya lagi dilajukan.
“Tok Abi!! Nek
Wan!! Hani ada berita gembira ni!!”
Huh, serasa pekikannya boleh mengalahkan
laungan George dalam cerita George Of The Jungle! Sampai sahaja dihalaman
rumah, serta-merta brek ditekan menyebabkan basikal tua itu membuat aksi wikang
yang tak berapa nak jadi.
Hani menjengukkan kepalanya di sekitar
halaman. Bibirnya diketap. Haish, sejak bila Tok Abi dengan Nek Wan ni suka
main chakchak pula ni. Vokalnya dilontarkan lagi.
“Tok Abi!! Nek
Wan!! Tok Abi kat mana? Nek Wan! Ooo Nek Wan!! Keluarlah!”
Agaknya dia ni memang kaum kerabat
tarzan agaknya. Dari tadi terpekik terlolong macam nak terkeluar anak tekak.
“Nek Wan kat
belakang ni, Hani ooi!”
Sebaik sahaja mendengar suara tua
kesayangannya itu, Hani terus mencampakkan basikal tua yang malang itu sekuat
hati ke halaman rumah. Ish, ish! Tak patut betul! Malang betul nasib basikal
tua yang setia dengan tugasnya itu.
Melihat sahaja neneknya itu, terus
sahaja dipeluk tubuh tua itu seeratnya. Semoga tulang neneknya tak patah
sudahlah.
“Nek Wan!! Hani
dah dapat result! Cuba nenek teka Hani dapat berapa?” ceria
sungguh suaranya di kala itu. Slip di tangan di sorokkan di belakang tubuhnya
yang agak kurus itu.
“Rizot? Apa
benda alah kamu ni, mana nenek tau.”
Hani tersengih. Terlupa bahawa neneknya
itu buta inggeris. Ops,tak! Tak! Tak! Bukan buta inggeris, Cuma tak memahiri
bahasa inggeris. Hani tergeleng-geleng kecil. Nek Wannya hanya memandang
hairan.
“Bukan rizot la
nek.. result. Ni, Hani nak bagitau, Hani dan dapat keputusan SPM. Nenek tak
ingat eaa?” Hani bertanya manja.
“Hah? SPM? Ye
ke? Astaghfirullah hal azim... Hani! Macam mana Nek Wan boleh lupa pula ni.”
Nek Wan tergeleng-tergeleng sambil tangannya melekap kat dahi.
“Hah, yelah.
Berapa kamu dapat?”
Hani melebarkan sengihannya.
Hatinya begitu berbunga sekali.
“Hani dapat...”
sengaja dia menjedakannya. Nek Wan sudah tidak sabar mendengar hanya mengangguk
mengikut irama kepala cucunya yang seorang itu.
“Semua A nek!”
Lantas tanpa membuang masa, Hani
terus memeluk neneknya itu. Slip itu kini bertukar tangan. Nek Wan membelek
slip tersebut. Jelas terpampang abjad ‘A’ sebanyak 11 angka dan simbol ‘tambah’.
“Alhamdulillah
cu. Syukur Ya Allah, syukur! Cucu aku dapat 11A+! Alhamdulillah!” ucap Nek Wan.
Air matanya bergenang.
Terharu Hani mendengarnya. Pelukan
makin dieeratkan. Sungguh, kasihnya pada Nek Wan memang tidak terbelah bahagi
lagi.
“Hah, Hani! Macam
mana keputusan?”
Dek kerana terkejut dengan
sergahan Tok Abinya yang baru balik dari sawah, Hani lekas-lekas meleraikan
pelukannya. Terpandang wajah atuk kesayangannya, Hani tersengih lebar. Sama
lebarnya dengan misai lentik yang mampu membuatkan anak-anak kampung gerun.
Hani mengatur langkah untuk menyalami Tok Abinya.
“Alhamdulillah
tok, Hani dapat straight A plus.”
Tangan tua itu disalam dan dicium.
Tok Abi sudah tersenyum lebar.
Tepat sangkaannya, kalau tidak,
Hani tak mungkin menjerit terpekik terlolong bagai diserang histeria dan
mengayuh basikal sampai nak terburai rantai tua itu. Sampaikan pekerjanya
sanggup terjun parit yang dipenuhi lintah semata-mata ingin menyelamatkan diri
daripada dilanggar Hani.
“Tahniah, tak
sia-sia usaha Hani selama ini,” bibir tua itu menuturkan kata lantas memeluk
bahu Hani. Hani hanya menyegih, dah macam kerang busuk dah gayanya.
“Bang, nanti
kita kenduri kesyukuran tau! Kita buat kat masjid, ajak semua orang kampung
datang,” bersungguh benar nampaknya Nek Wan ingin mengadakan kenduri ksyukuran
buat cucunya itu.
Kenduri! Wajah Hani sudah bersinar!
Dia menoleh ke arah Tok Abinya mengharapkan Tok Abinya bersetuju. Tok Abinya
hanya tersenyum.
“Hmmm.. yalah.
Lusa malam nanti kita buat,” selesai sahaja Tok Abi menuturkan kata, Hani
meloncat kegembiraan. Ish, ish! Depan orang tua pun boleh buat perangai tak
semenggahnya itu. Nek Wan dan Tok Abi hanya menggeleng perlahan.
“Tok Abi, Nek
Wan! Hani nak keluar kejap, boleh tak?”
Aduh, silap haribulan memang pekak dua
orang tua itu dikerjakan. Asyik menjerit je kerjanya. Cubalah cakap tu
elok-elok sikit.
“Nak ke mana?”
“Nak jumpa Ukhti
Atul!”
Tanpa sebarang pamitan, Hani terus
mendapatkan kembali basikal tua Tok Abinya. Tanpa membuang masa, terus basikal
itu dikayuh, seperti tadi, hampir terburai rantai tua milik basikal itu.
Tok Abi dan Nek Wan sudah tergeleng.
Mana tidaknya, gelagat cucu mereka yang kepoh bagai murai tercabut ekor itu
memang mencuit hati tua mereka.
“MAK! Kara dapat 9A, Mak!”
Kara menjerit apabila panggilannya
diangkat. Terkejut Mak Timah dibuatnya. Tak ada salam, terus terjah. Nasib baik
emaknya itu tak ada sakit jantung.
“Ye ke nak?
Alhamdulillah, syukur. Tahniah Kara.” Ucapnya sambil mengesat air mata yang
bergenang. Kara di talian tergelak kecil. Mesti mak menangis ni, detik hatinya.
“Hehe, terima
kasih mak. Kara buat ni pun untuk mak juga.”
Tuturnya. “Mak, abang macam mana?” kini
dia bertanya. Mak Timah tergaru kepala.
“Mak pun tak
taulah Kara. Dia kata lepas ambil result, dia kena jemput Tan Sri.”
Kara menarik nafas. Abang, abang.
“Mak, tadi cikgu
sekolah ada bagitau yang Kara dapat tawaran biasiswa penuh.”
“Yeke? Syukur
Alhamdulillah, rezeki kau nak.”
Sungguh Mak Timah tak sangka. Ini
merupakan khabar yang mengembirakannya. Kalau arwah suaminya ada, tentu lelaki
itu gembira, desis hatinya. Hatinya sebak seketika apabila teringat arwah
suaminya, Sudin.
“Tapi mak,
biasiswa tu bersyarat. Cikgu kata, Kara akan dapat kalau Kara masuk kat
Universiti Tun Mahkota dalam bidang kedoktoran.” Ujarnya lagi.
“Masuk jelah.
Mak izinkan. Lagipun, ingatkan apa pesan arwah abah dulu?.”
“Tapi mak, Kara
tak minatlah perubatan ni. Mak tahu kan, Kara macam mana?”
Kara cuba meraih simpati emaknya. Sungguh,
dia memang tak mahu mendalami bidang kedoktoran atau perubatan atau mana-mana
yang seangkatan dengannya. Cukuplah otaknya hampir pecah sewaktu menerima ilmu
Sains Tulen di sekolah.
Mak Timah mengeluh. Memang tahu sangat
anaknya itu bagaimana. Jangankan nak mendalami, nak makan ubat pun susah. Yang
diminatinya, seni, seni dan seni.
“Kara, bukan nak
halang kamu. Tapi mak harap kamu dapat teruskan hasrat abah kamu. Nak harap
abang kamu tu, memang tak akan tercapailah hasrat abah kamu tu. Dia dah tekad
nak sambung pekerjaan abah kamu dulu.”
Kara terdiam. Teringat arwah abah
membuatkan hatinya sebak. Nafas di tarik perlahan. “Mak, bagi Kara masa mak.”
Mak Timah mengangguk, walaupun dia tahu
Kara tidak dapat melihatnya.
“Yelah. Apa-apa
nanti, bincang dengan Mak Lang. Mak ada banyak kerja lagi ni.”
“Baiklah mak,
Assalamualaikum.”
Talian dimatikan sebaik sahaja emaknya
menjawab salamnya. Dia menarik nafas dalam. Otaknya berusaha mencari jalan penyelesaian,
namun gagal. Sementara Mak Timah, menyambung kerjanya sebagai pembantu rumah di
rumah agam milik majikannya itu. Namun dalam hatinya tidak henti berdoa agar
anak gadisnya itu membuat keputusan yang sewajarnya.
“MAMA, mama! Wawa dapat straight A ma!”
Wawa terus menerjah kea rah Datin
Sakinah sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dewan. Haziq dibelakangnya tidak
dihiraukan.
“Ye ke?
Alhamdulillah, tahniah sayang.” Tubuh anak gadisnya dirangkul, jelas keceriaan
di wajah mereka. Setelah agak lama, barulah pelukan itu dileraikan.
“Mama, mama.
Nanti mama nak bagi Wawa hadiah apa?” soalnya manja. Pelukan dileraikan.
Matanya memandang wajah ibunya itu.
“Hek eleh, sikit-sikit nak hadiah.
Sikit-sikit nak hadiah. Aku dapat straight
A plus, tak minta apa-apa pun. Mengada-ngada!” Ejek Haziq.
Wawa memandang geram pada lelaki di
sebelahnya, entah bila lelaki itu berada di sebelahnya. Haziq buat tak endah
dengan jelingan tajam yang diberikan oleh Wawa. Nak takut apa, dia lelaki,
malulah kalau takut dengan perempuan. Datin Sakinah menggeleng.
“Hah, Ziq. Macam
mana result?” soal Datin Sakinah,
tangan dihulurkan.
Haziq mencium tangan ibu saudaranya
itu terlebih dahulu sebelum menjawab.
“Langsung tak
ada A ma,” Wawa pantas menjawab sebelum sempat lelaki itu membuka mulut. Mata
Haziq membuntang memandang Wawa, tapi Wawa buat dek. Padan muka, ejek aku lagi! Desis hati Wawa. Haziq mengetap
bibir geram.
“Apa masalah
kau, hah?! Sengaja nak cari pasal kan?!” Haziq memusingkan badannya menghadap Wawa
sekali gus merentap tangan gadis itu yang sedang berpeluk tubuh. Wawa
tersentak..
“Hello! Kau yang cari pasal ke aku yang cari
pasal!” balas Wawa, tak puas hati. Dah jelas-jelas dia yang cari pasal, nak
salahkan aku pulak!
“Eh, betullah
kan apa aku cakap! Kau tu mengada-ngada!”
Bidas Haziq tidak mahu mengalah. Mana
boleh kalah dengan perempuan ni, hilang macho aku nanti.
“Eh, sukahatilah
kalau aku nak mengada-ngada sekalipun! Ada aku kacau hidup kau ke?”
Mereka terus bercakaran. Adeh, orang lain
dapat result suka, aman, damai je
hidup. Ni diorang, lain pulak ceritanya. Dahlah tu, Datin Sakinah di hadapannya
tidak dipedulikan. Ish, ish. Tak patut betullah diorang ni.
Datin Sakinah tepuk dahi. Diorang ni kalau
sehari tak gaduh, memang tak sah!
“Dah! Dah!
Korang ni kalau sehari tak gaduh memang tak sah!” Datin Sakinah cuba meleraikan
mereka. Malu kot, mak, ayah, pelajar
cikgu-cikgu yang ada kat luar dewan semua pandang.
“Dia yang mula
dulu!”
Serentak mereka berkata lalu memusingkan
badan. Muka masing-masing cemberut. Tak hingin nak pandang muka masing-masing.
“Sudah mama
cakap! Hish korang ni, nama aje saudara! Sikit-sikit nak gaduh. Nasib baik
korang ni saudara susuan, kalau tak memang mama kahwinkan korang berdua!”
Gerutu Datin Sakinah.
“Mama!”
“Mak Su!”
Mereka berpaling menghadap Datin
Sakinah. Kemudian berpandangan sesama sendiri, atas bawah, atas bawah. Oh My
English! Mimpi ngeri wei kalau kena kahwin dengan dia ni! Masing-masing membuat
gaya geli geleman.
“Hah, tau pun!
Dah, jom. Pak Long dah call banyak kali dah.”
Huh? Wawa dan Haziq berpandangan.
Masing-masing tidak memahami maksud Datin Sakinah.
“Nak pergi mana
Mak Su?”
Soal Haziq. Wawa turut memandang wajah
ibunya. Meminta kepastian.
“Pergi mana
lagi? Lunch lah. Abi kamu dah lama tunggu dah.”
Kata-kata Datin Sakinah membuat kedua
mereka gembira.”Yeay!” Mereka segera berlumba menuju ke BMW milik Datin
Sakinah. Wanita itu hanya menggeleng melihat telatah anaknya dan anak
saudaranya itu, merangkap anak susuannya. Umur je dah 18 tahun, tapi perangai
.. macam baru lapan tahun!
“ANAK-anak, jangan lupa pesan Umi, malam ni
jangan lupa datang kelas mengaji kat rumah Tok Abi tau,” lembut suara gadis itu
menuturkan kata.
“Baik, Umi!”
sahut anak-anak kecil itu penuh semangat.
Selesai membaca doa habis belajar,
anak-anak lelaki meminta izin untuk beredar manakala anak-anak perempuan pula
menyalami tangan gadis itu sebagai tanda hormat.
Memang sengaja mereka dididik begitu,
bukan kerana tidak menghormati guru, tetapi untuk membantu anak-anak lelaki
membezakan antara yang halal dan haram untuk disalami.
Lagipun, pendidikan sebegitu bermula
apabila mereka berumur 10 tahun dan ke atas, manakala untuk sembilan tahun dan
ke bawah dibenarkan kerana mereka masih dianggap belum mumayyiz. Begitu juga
sebaliknya dengan anak-anak perempuan.
Setelah semua anak muridnya beredar,
gadis itu mengemaskan barangnya untuk beredar. Sebaik sahaja dia melangkah
keluar dari kelas tersebut, dia terdengar suatu jeritan.
“Ukhti Atul!!”
Belum sempat tubuhnya dipusingkan dirinya
sudah jatuh terjelepok gara-gara dihempap manusia. Tahu sangat siapa
gerangannya.
“Hani!! Bangun!
Ya Allah! Beratnya budak ni! Astaghfirullah hal azim, bangun! Ukhti punya barang
dah berterabur dah ni!”
Hani menyengih. Segera dia bangun dan
membantu Kak Atul duduk sambil mengemas barangnya yang sudah berterabur dek
perbuatan si Hani.
“Hehehe.. Sorrylah ukhti. Tak sengaja pula. Excited punya pasal.”
“Sorry.. Sorry. Sorry naik lorilah! Dah
la tak bagi salam, main terjah aja. Syukur ukhti tak ada lemah jantung, tau
tak!”
Hani mengangguk-angguk bagai burung
belatuk tatkala mendengar bebelan tersebut. Mana boleh marah-marah, akak sayang
tu. Chop, pembetulan! Bukan kakak kandung, tapi kakak angkat.
“Ni lagi satu,
berapa kali ukhti nak bagitau, Jangan panggil ukhti Atul! Nanti orang fikir
ukhti Atuk pula! Kalau nak panggil nama, panggil nama penuh, bukan nama pendek!
Bukan Atul tapi...”
“Ukhti
Raudhatul, ye ye. Hani faham. Maaflah. Bukannya sengaja.Ala..lagipun malaslah
nak panggil nama panjang, susah. Nama pendek kan senang, Atul. Hah, kan cantik
nama tu,” Hani membantu Raudhatul bangun.
Mereka menuju ke arah sebuah pondok
berdekatan dengan kelas tersebut.
“Hah, kenapa
datang cari ukhti? Tu handsock tu, betulkan dulu. Dah naik sampai atas dah tu.”
Raudhatul memuncungkan bibir kea rah
lengan Hani. Hani menyegih lalu membetulkan kembali handsock ditangannya. Hani
memandang ukhti kesayangannya. Hmm.. tenang hati sekejap.
“Ukhti, tadi
Hani dapat result SPM tau.”
Raudhatul menjongketkan kening.
“Jadi? Macam
mana?”
Hani menariknafas sedalam-dalamnya.
“Alhamdulillah
ukhti, straight A+.”
Raudhatul mengukir senyuman. Bangga
dengan adik angkatnya yang satu itu.
“Alhamdulillah,
tahniah. Hani ambil sebelas subjek kan? Lepas ni Hani sambung mana?”
Sekali lagi Hani menyengih. Tangannya
mengeluarkan sesuatu daru poket seluarnya. MasyaAllah, hampir lunyai kertas itu
dikerjakan. Hani..Hani.. Raudhatul menggeleng
“Haah, Hani
dapat tawaran sambung kat UiTM Shah Alam. Course
Sains Komputer dan course sastera.”
Raudhatul mengerutkan kening. Pelik.
Bolehkah ambil dua sekali gus?
“Dua-dua ke Hani
dapat? Boleh ke?”
Soalan itu membuatkan Hani semakin
girang.
“Tak adalah. Dia
bagi pilihan. Sama ada Sains Komputer atau sastera. Ha.. confirm-confirmlah Hani pilih...”
“Sastera?”
Sampuk Raudhatul tanpa dipinta.
“Ish, tak
adalah. Memanglah Hani minat bagai nak rak bidang sastera tu. Tapi, setakat
sastera, bila-bila masa boleh belajar. Tentu-tentulah Hani pilih Sains Komputer,
kurang-kurang terjamin sikit masa depan Hani, kalau sastera,bergantung pada
ke’kereatif’an otak seseorang. Hani ni mana lah kreatif macam A.Samad Said tu,”
panjang lebar Hani bersuara. Rasa-rasa semuanya diucapkan dalam satu nafas.
Raudhatul mengangguk faham.
“Ah, baru Hani
ingat! Sebenarnya Hani datang sini nak
bagitau, lusa malam nanti Tok Abi dengan Nek Wan ada buat kenduri kesyukuran
kat masjid. Nanti ukhti jangan lupa datang tau! Ajak sekali budak-budak
madrasah ni.”
Raudhatul diam sebentar. Lusa
malam.. lusa malam.. lusa malam.. malam.. Khamis malam Jumaat.
“Hmm.. yalah.
InsyaAllah nanti ukhti datang ajak budak-budak ni sekali.”
“Okey, syukran
ukhti. Hani saaaaayang ukhti! Nanti jangan upa belanja Cornetto tau.”
Tubuh Raudhatul lantas
dipeluknya. Agaknya memang hobi agaknya peluk-peluk orang. Raudhatul pula tidak
membantah, malah membalas pelukan Hani. Hani, Hani. Tak habis habis-habis
dengan aiskrim Cornetto dia.
“Hmm.. yalah
ukhti. Hani balik dulu. Nak tolong Nek Wan kat rumah. Ma’assalamah,” pamitnya
sebelum beransur pulang.
Raudhatul hanya melambai kelibat
Hani sehingga tidak kelihatan ditubir matanya. Dia tersenyum. Hani.. Hani.. Ada
je bahasa arab yang dia gunakan. Ukhti la, ma’assalamah la..hai. Macam-macam.
BAB 2
“AIMAN, jalan elok-elok sikit. Jangan asyik nak
menyakat Anis dengan Imah je,” Hani menyampaikan pesannya kepada sekumpulan
kanak-kanak terakhir yang beransur pulang dari kelas mengaji Tok Abinya.
Setelah memastikan mereka beredar,
Hani merapatkan pintu tanpa berniat ingin mengunci. Hani berpaling. Dia
memerhatikan segenap penjuru rumah kayu itu.
Ada ruang tamu, ruang dapur dan ruang
makan pula bergabung, di sebelah ruang tamu pula terdapat sebuah dinding yang
memisahkan antara ruang tamu dengan sebuah lagi ruang khas yang sering
digunakan oleh Tok Abi untuk mengajar anak muridnya mengaji.
Kadang-kadang Hani pun naik pelik, bukan
apa, Tok Abinya itu tak pernah kelihatan penat sewaktu menjalankan aktiviti
hariannya. Pagi ke sawah, nak masuk tengahari singgah kebun, petang
menghabiskan masa dengan haiwan ternakan di belakang rumah iaitu ayam, angsa,
itik, burung dan paling Hani suka, ayam belanda. Tak cukup dengan tu, apabila
senja menghampiri, Tok Abi akan mengajar anak-anak kampung mengaji di rumahnya
dan sebelah malam pula akan mengajar silat. Hani tersengih dan menggeleng.
Hani melabuhkan punggung di hadapan
televisyen. Berita yang ditayangkan tidak sedikit pun menarik perhatiannya.
Otaknya menerawang tentang sesuatu perkara.
“Hah,
termenung!”
Sergahan Tok Abinya itu cukup untuk
membuatkan jantungnya hampir gugur. Hani beristighfar.
“Hish, mana ada
tok. Merepek aje,” sangkal Hani.
Hani memandang Tok Abinya. Lelaki tua itu
mengambil tempat di sebelah Hani.
“Hani, malam ni
atok ada hal dengan Lebai Yusop. Kamu tolong tengokkan budak-budak malam ni,”
ujar bibir lelaki itu.
Hani menggaru kepala. Bukan dia tak
faham, dia faham Tok Abi meminta agar dia tolong tengokkan anak murid silatnya
malam ni.
“Tuah kan ada?”
Hani mengusul. Pelik juga sebab selalunya
teruna idaman kampung itu yang akan membantu Tok Abi menjaga anak murid
silatnya jikalau datuknya itu ada hal.
“Tuah tu nak
ajar budak-budak baru Kamu tolong tengokkan budak-budak lama sudahlah. Kalau
ada salah, tegur. Tak susah pun.”
Mata lelaki tua itu tidah berkalih dari
peti televisyen. Ish, takkan nak tolak pula? Kesian atok nanti.
“Hmmm.. yalah
tok. Nanti Hani minta Ilmi teman.” Hani akur jua. Tok Abi tersenyum. Ia tahu
cucunya itu tidak akan menghampakannya.
Tidak lama kemudian, Nek Wan muncul
dengan dulang yang sedia terhidang air kopi serta cekodok bawang. Hani
memberikan laluan kepada Nek Wan. Apabila melihat Nek Wan hendak kembali ke
dapur, segera Hani menghalang.
“Err.. Nek, tok,
Hani ada perkara nak bincang dengan tok dan nenek.”
Nek Wan dan Tok Abi saling memandang.
Kemudian menghalakan pandangan ke arah Hani. Nek Wan menganmbil tempat di sisi
suaminya. Hani kemudian meminta izin untuk masuk ke bilik dan mencapai sepucuk
sampul putih. Kemudian duduk kembali di tempatnya tadi.
“Sebenarnya,
waktu Hani ambil keputusan tadi, Cikgu Hairani ada bagitau yang Hani dapat
tawaran sambung belajar dekat UKM.”
Hani berjeda seketika. Dia memberikan
sampul putih tersebut kepada Tok Abi dan Nek Wan.
“Hani pilih
kursus mana? Sastera atau Sains Komputer?”
Hani tersenyum.
“Sains Komputer
tok.” Ceria sahaja suaranya di kala itu. Dia berharap agar kedua insan di
hadapannya itu mengizinkannya. Dia ingin mengejar cita-citanya.
Namun senyuman Hani tawar apabila
mendengar keluhan berat yang lahir dari mulut Tok Abi. Tiada langusng riak keceriaan
di wajahnya. Hani tiba-tiba dipagut bimbang. Tak mungkin atuk dan nenek tak
bagi. Melainkan...
“Siah, tolong
ambilkan surat tu,” suara Tok Abi menghentikan lamunan Hani. Hatinya
berdebar-debar.
“Hani,
sebenarnya....”
GEDEBUK!
Seorang lelaki jatuh ke tanah. Perit!
Semua mata memandang ke arah lelaki tadi,
kemudian mengalihkan pandangan kepada Hani.
“Ha..Hani? Kau
okey tak ni?”
Hani memberikan jelingan tajam ke arah
Tuah. Semua yang berada di situ gerun melihat Hani,kembali meneruskan latihan
mereka. Tidak berani mengacau mood tidak
baik cucu guru silat mereka malam ini. Hani membetulkan handsock yang
dipakainya.
“Hani, tak baik
kau buat Imran macam ni,” Tuah memberi nasihat sambil membantu lelaki tadi
bangun. Dia memapah lelaki itu ke pangkin rumah Hani.
Huh, padan muka kau! Tau aku tengah bad mood sibuk nak beradu dengan
aku.Hani hanya memerhatikan Imran yang sedang ditiarapkan oleh Tuah untuk
disapu minyak urut. Hani memerhatikan anak-anak murid Tok Abi berlatih. Kemudian
menghalakan pandangan kepada anak-anak murid baru Tok Abinya. Mereka kelihatan
sedang mempraktikkan gerakan yang diajarkan oleh Tuah tadi. Hmm.. masing-masing
ada peningkatan yang tersendiri.
“Hani, Hani!”
Suara Ilmi menyapa gegendang telinganya.
Hani menoleh. Entah bila gadis itu berada di sebelahnya. Ilmi tersengih. Mood Hani yang tak baik itu langsung
tidak diendahkan.
“Nek Wan kata,
minuman dah siap. Ajak dia orang minum dulu,” Hani mengangguk.
Mereka berjalan ke rumah untuk mengambil dulang
yang berisi minuman.
“Rehat 10 minit!
Minum dulu!”
Jeritan Hani membuatkan semua terhenti.
Masing-masing berpeluh. Mereka menuju ke pangkin rumah di mana Hani meletakkan
air untuk mereka. Hani dan Ilmi kemudian duduk jauh dari mereka kerana tidak
mahu aroma ‘kejantanan’ menusuk hidung mereka. Mereka duduk di sebuah bangku
bawah pohon tidak jauh dari situ.
“Kau okey tak?”
Soalan Tuah tadi kini diulang oleh Ilmi.
“Entahlah. Apesal kau tanya?”
“Tadi aku nampak
kau beradu dengan Imran. Teruk juga kau kerjakan dia. Apa kes tadi?”
Hani mengeluh. Tudung yang ditiup angin
malam dibetulkan.
“Dah dia yang
nak sangat beradu. Aku dah kata taknak, dia degil. Siapa suruh paksa-paksa aku.
Kan dah kena,” geram sahaja nada suaranya. Ilmi tercengang.
“Aik? Bukan kau
selalu suka ke beradu? Kalau tak diajak, kau mengajak. Sampai Tok Abi marah.
Yalah, perempuan lawan laki, laki kalah. Lagipun gagah kau tu dah mengalahkan
lelaki. Sampai tu, teruna idaman yang gagah perkasa pun mampu kau kalahkan,” muncung
Ilmi ditujukan ke arah Tuah.
Hani mencebik. Teruna idaman konon, tak
heran aku! Ilmi ketawa melihat reaksi
rakannya itu. Namun tawanya terhenti apabila muka Hani membeku kembali. Dia
dapat rasakan sesuatu menggangu fikiran rakannya itu.
“Kau okey tak?”
Sekali lagi soalan diajukan.
Hani berdiam diri.
“Orang lain
dapat 9A gembira, kau dapat yang satu-satunya budak yang ambil 11A+ masam.
Pelik aku. Kau ada masalah ye?” Ilmi mengagak.
Tak mungkin rakannya itu marah tak tentu
pasal. Kalau nak kata tak suka jaga anak murid silat Tok Abi, mustahil! Itu
memang perkara yang diminati Hani. Bukan sebab dapat tengok teruna-teruna
kacak, tetapi sebab nak cari peluang untuk beradu tenaga dengan anak murid Tok
Abi.
“Ada memang ada.
Beraaaaaaat sangat masalah aku tu. Aku tak tau macam mana nak buat, aku kena
pilih satu antara dua Mi,” ucap Hani membuatkan Ilmi tersenyum.
“Asal? Tok Abi
suruh kau kahwin ye? Dengan siapa? Kau mesti taknak kan sebab dah ada pilihan
sendiri. Lepas tu mesti Tok Abi kau marah. Betul tak?” Bulat mata Hani memandang Ilmi.
“Tak ada kerja!
Kau pikir atuk aku tu tak ada perasaan nak paksa aku kahwin?! Hal ni langsung
tak kaitan langsung dengan kahwin! Eiii, kerja pun tak ada nak kahwin.
Tolonglah!”
Ilmi ketawa. Suka melihat telatah
sahabatnya itu.
“Dah tu? Cerita
la kat aku, mana tau aku boleh tolong?”
Hani merenung Ilmi. Ilmi,aku sayang
kau sangat-sangat!
“Hmm.. tak
apalah. Biarlah aku cuba selesaikan sendiri dulu, kalau ada tak selesai, baru
aku cerita kat kau,” Hani mengenyit mata kepada Ilmi. Ilmi tergamam. Hish,
orang nak tolong, tak mau!
Matanya hanya memandang Hani yang
sudah bangun dan menuju ke pangkin rumah. Kelihatan Hani sedang memarahi anak
murid Tok Abi yang masih lagi berehat walaupun masa 10 minit telah pun berlalu.
Ilmi kemudian menuju ke pangkin dan
mengambil bekas minuman mereka dan membawa masuk ke dalam rumah Hani. Dia hanya
memandang sahaja ke arah Imran. Apabila mata mereka bertemu, Ilmi menjelirkan
lidahnya sebagai isyarat ‘Padan muka kau!’.
“Macam mana
latihan malam ni?”
Suara Tok Abi yang menyapa gegendang
telinganya membuatkan Hani menoleh. Terperanjat dengan kepulangan Tok Abi. Hani
menilik jam di tangannya, lagi 15 minit latihan nak habis.
“Err.. semua
okey tok. Tak banyak peningkatan yang diorang ada. Tapi lebih baik dari dua
minggu lepas.” Lancar sahaja mulutnya berkata.
Tak diendahkan langsung pandangan tajam
yang dihadiahkan oleh semua anak murid Tok Abinya. Tak banyak peningkatan?!
Dan, lebih baik dari DUA MINGGU LEPAS?!! Hish, nasib baik Hani ni cucu guru
silat mereka, perempuan pula tu. Kalau lelaki, dah nahas mreka kerjakan. Hani
buat muka tebek. Langsung tak takut dengan jelingan mereka.
Hani menoleh ke arah mereka dengan sebuah senyuman
yang membawa maksud ‘Apa? Nak lawan? Kalau berani marilah!’ Kecut perut mereka jadinya.
Segera wajah ditundukkan. Tok Abi hanya menggeleng melihat perangai cucunya
itu. Hani..Hani.. Bilalah kau nak jadi wanita dalam erti kata yang sebenar?
“Hmm.. tak
apalah kalau macam tu. Sebelum kamu semua pulang, saya ada perkara nak beritahu
kamu semua.”
Semua berpandangan. Tertanya-tanya
apakah perkara itu. Hani mula tersenyum.
“Sempena
meraikan cucu tok yang dapat 11A+ dalam SPM, tok nak jemput kamu semua hadir ke
masjid pada Jumaat malam Sabtu nanti untuk kenduri kesyukuran.”
Semua tergamam seakan tak percaya. Mereka
menoleh ke arah Hani. Tuah dan Imran yang memang sedia tahu cuma tersengih.
“Tahniah Hani!”
Sebuah tepukan diberikan kepada Hani. Bertalu-talu
ucapan tahniah diterimanya. Hani termalu sendiri.
“Terima kasih
semua,” Hani tersenyum. Penuh keikhlasan.
Lagi sekali mereka tergamam. Inilah
kali pertama mereka melihat senyuman Hani yang benar-benar ikhlas. Cantik,
sangat cantik! Tak sangka Hani begitu cantik, yalah. Selama ini pun kecantikan Hani
langsung tidak kelihatan kerana gadis itu mempunyai sifat kelelakian meskipun
tudung masih melitupi kepalanya. Tuah dan Imran sahaja yang tidak tergoda
melihat senyuman Hani.
Senyuman Hani mati apabila merasakan sesuatu
yang tidak kena. Tepat jangkaannya. Mereka semua sedang memerhatikan dirinya. Hani
mengetap bibir, geram. Menyesal kerana tersenyum. Hani memberikan jelingan
tajam.
Gulp! Aura asal Hani sudah kembali!
Mereka menundukkan wajah. Tok Abi hanya menggeleng.? Tuah dan Imran
menyembunyikan senyuman mereka. Tahu sangat perangai sahabtnya yang agak tomboi
itu.
“Kalau dah tak
ada apa-apa, rasanya dah boleh korang semua dah boleh balik, kan tok?”
Tok Abi hanya mengangguk. Segera
anak-anak muridnya bersalaman dan beredar.
“Ilmi mana?”
“Dah balik tok.
Tadi abang dia jemput.”
Mudah jawapan Hani. Mereka memandang ke
arah Tuah yang sedang membantu Imran berjalan pulang. Hani menyegih.
“Kamu dah buat
pilihan?”
Soalan Tok Abinya mematikan sengihan Hani. Adoi, kenapa tok
mesti tanya soalan ni?! Hani menggelengkan kepalanya perlahan-lahan.
“Kamu cuma ada
masa sehingga Jumaat ni.”
Tok Abi melangkah masuk ke rumah setelah
selesai berkata-kata. Hani kaku.
Ya, sehingga
Jumaat minggu. Kemudian, hanya beberapa bulan untuk dia persiapkan dirinya.
Keputusan harus dibuat untuk masa depannya.
Hani meraup mukanya. Dia melangkah masuk
dengan kaki yang longlai.
BAB 3
“WAN, kau nak pergi mana?”
Afiq mneghentikan langkahnya. Niat mahu ke perpustakaan terbantut
apabila melihat Safwan menghidupkan enjin Kawasaki Ninja RR milik Safwan. Afiq
menukar langkah menuju ke arah Safwan. Safwan menaikkan cermin helmet full facenya.
“Asal?”
Soalnya selamba. Afiq tepuk dahi. Takkan
mamat ni lupa kot?
“Lah.. Kan kau
ada perjumpaan dengan Perwakilan Pelajar, takkan lupa kot?” Sah, memang mamat
ni lupa!
“Perjumpaan tu
pukul tiga setengah.”
Pergh! Kerek giler suara. Afiq ternganga.
Tak pernah-pernah saudaranya itu sedemikian rupa.
“Beb, lima belas
minit lagi tiga setengah beb!”
Afiq menunjukkan jam tangannya pada muka
Safwan. Ceh, macam cantik sangat jam dia tu. G-Shock je pun. Macam budak-budak
punya aje. Safwan tak layan. Minyak diperah berkali-kali. Afiq teringat
sesuatu. Bagaikan dapat mengagak.
“Kau nak pergi
hospital ke?” Soalnya, namun teragak-agak.
“Doktor call.
Dia mengamuk.”
Jelas Safwan. Afiq dapat mengesan nada
sayu yang cuba disorokkan. Safwan kemudian mengeluarkan motornya dari tempat
letak motor. Minyak semakin kerap diperah.
“Habis tu,
perjumpaan?”
Safwan memasukkan gear. Kemudian memandang
ke arah Afiq.
“Kau ganti aku.”
Serentak itu, cermin helmet diturunkan
dan minyak diperah. Meninggalkan Afiq dengan asap yang mampu menjejaskan
kesihatan.
“Wei, Safwan!
Uhuk! Uhuk! Uhuk!”
Afiq terbatuk apabila cuba memanggil
lelaki itu kembali. Cis, tak guna! Setelah batuknya reda, Afiq tergeleng
perlahan. Hanya memerhatikan sisa asap motosikal berkuasa tinggi milik Safwan.
“Haih,
terpaksalah pergi.”
Keluh Afiq. Lagi sekali langkah kaki ditukar.menuju ke
Bilik Persatuan Pelajar.
“HISH, mana Safwan ni? Dah nak mula
perjumpaan un tak sampai-sampai lagi!”
Adam mendengus. Selaku Pengerusi
Perwakilan Pelajar Universiti Tun Mahkota, memang pantang kalau ada mana-mana
ahli Perwakilan Pelajar lambat. Baginya, masa itu emas! Jam di tangan dibelek.
Lagi sepuluh saat nak pukul tiga setengah. Adam memulakan kiraan dalam hati.
Sepuluh... Sembilan... Lapan... Tujuh... Enam... Lima... Empat...
“Sorry lambat!”
Semua mata memandang ke arah pintu masuk
mesyuarat. Afiq tercungap-cungap. Pergh, banyak giler tangga! Kenapa selama ni
aku tak pernah perasan? Afiq berbicara dalam hati.
“Mana Safwan?”
Soal Adam bernada dingin. Afiq membuat
isyarat tangan tanda suruh tunggu sekejap sementara cuba mengawal
pernafasannya. Setelah dapat bernafas dengan elok, barulah Afiq menjawab.
“Wan ada
emergency call tadi. Aku ganti dia.” Pendek jawapan Afiq.
Adam kembali merengus. Menyusahkan orang
betul!
“Dah, pergi
duduk. Dah lambat dah ni!”
Afiq mencebik tatkala Adam menyelak
kertas kerja di tangannya. Huh, berlagak! Afiq segera mengambil tempatnya. Kertas
yang diletakkan di meja tersebut dibelek satu-persatu. Cuba memahami isi
kandungan kertas tersebut.
Perjumpaan
tersebut kemudiannya diteruskan dengan ulasan-ulasan aktiviti Perwakilan
Pelajar serta tugas-tugas yang disandang. Afiq mencatitkan beberapa point di
atas sehelai kertas untuk diberi kepada Safwan.
“Maaf, saya nak
tanya. Bagaimana dengan lawatan pelajar sem satu yang akan datang?” Salah
seorang ahli Perwakilan Pelajar mengajukan soalan kepada Adam ketika pengerusi
itu sedang membincangkan aktiviti pelajar sem satu yang akan datang.
Semua mata memandang pelajar tersebut
kemudian beralih memandang Adam. Adam berdehem sebelum menjawab.
“Soalan yang
bagus. Untuk lawatan tahun ni, Prof Hamdiah telah berbincang dengan beberapa
pensayarah lain agar lawatan yang akan datang di tukar kepada aktiviti lain. So,
any suggestion?”
Adam memandang orang bawahannya satu
persatu. Menanti jawapan yang akan keluar dari mulut mereka. Dia mengeluh
hampa, namun keluhan itu perlahan.
Afiq
memandang kiri dan kanan. Setelah pasti tiada yang akan bersuara, Afiq bertindak.
Dia mengangkat tangannya. Adam memandang. Setelah diberi isyarat, barulah Afiq
berdiri. Dia berdehem sebelum mengutarakan cadangannya. Haih, dah ikut gaya
Adam la pula, berdehem-dehem sebelum bercakap. Tak apa, itu tak penting, yang
penting apa yang bakal dicakapkan. Betul tak?
“Maaf, saya bukan
ahli Perwakilan Pelajar, saya cuma nak beri cadangan. Itupun kalau Encik
Pengerusi dan ahli Perwakilan yang lain sudi mendengar.” Afiq menggunakan
bahasa formal.
Ahli yang lain memandang Afiq. Pandangan
mereka kemudian dialihkan kepada Adam. Menanti jawapan Encik Pengerusi.
“Silakan.” Adam
memberi keizinan. Pandangan mereka sekali lagi dilaihkan kepada Afiq. Afiq
tersenyum. Satu helaan nafas ditarik.
“Seperti yang
Encik Pengerusi katakan tadi, Prof Hamdiah minta Persatuan Perwakilan Pelajar
untuk menukar aktiviti lawatan kepada aktiviti yang lain. Jadi, saya
menyarankan agar Perwakilan Pelajar mengadakan aktiviti perkhemahan untuk
mereka.
Semasa perkhemahan tersebut dijalankan,
Perwakilan Pelajar juga boleh mengadakan aktiviti lain. Contohnya, aktiviti
yang lasak. Kalau setakat lawatan, mungkin mereka akan cepat berasa jemu kerana
lawatan hanya melawat.
Tapi kalau aktiviti yang sebegini,
mereka akan lebih tertarik. Tambahan pula kebanyakan remaja sekarang memang
menggemari sukan-sukan yang ekstrem, dan aktiviti seperti ini juga dapat
mengeratkan hubungan antara pelajar sendiri.
Saya harap Perwakilan Pelajar dapat
pertimbangkan cadangan tadi.” Afiq menoktahkan hujahnya. Adam memandang tepat
pada wajah Afiq. Kemudian memberi isyarat kepada Afiq untuk duduk. Tanpa
bantahan Afiq menurut. Kaki pun dah lenguh berdiri.
Matanya kemudian memerhati reaksi
ahli-ahli yang lain. Kesemua mereka menganggukkan kepala mereka tanda bersetuju
dengan cadangan Afiq.
“Baiklah. Saya
terima cadangan awak. Tapi, dengan syarat.”
Semua mata tertumpu pada Adam, termasuk
sepasang mata milik Afiq. Menanti ayat yang seterusnya.
“Saya nak awak
carikan tempatnya.”
Oh, senang je. Afiq mengangguk, tanda bersetuju.
“Ciri-ciri
tempat yang saya nak ialah...”
Hah? Ciri? Kenapa mesti ada ciri pula
ni? Afiq segera mencapai pen yang diletakkan di atas meja tersebut. Bersedia
mencatit ayat seterusnya.
Adam menyebut satu demi satu. Afiq menyalin
pantas.
What?! Wajah Adam dipandang dengan
mulut separuh terlopong. Nampaknya Adam sengaja ingin mempermainkannya. Afiq
membaca kembali satu-persatu cirri yang disebutkan oleh Adam. Dengan penuh
keterpaksaan, Afiq mengangguk. Adam tersenyum sinis.
“Baiklah, saya
raasa cukup untuk pelajar semester satu yang akan datang. Seterusnya....”
SELESAI menunaikan solat asar di surau pelajar,
Afiq menyusun langkah mnuju ke tempat meletakkan motosikal pelajar. Namun
langkahnya terhenti apabila sesusuk tubuh menghalang laluannya. Afiq mendengus.
Apalah yang minah ni nak?
“Mana Safwan?”
Arysha bertanya dengan nada bongkak. Tangan disilangkan.
Huh, berlagak! Bongkak! Afiq mendengus
lagi. Matanya tajam memandang Arysha. Namun pandangan itu tidak sedikit pun
menakutkan Arysha.
“Apesal kau tanya
aku?”
Suaranya dingin tidak bernada. Arysha
tertawa kecil sambil mengipaskan lehernya, lagak seperti sedang panas. Meluat
Afiq melihat gaya gediknya itu.
“Sebab I tahu
yang you memang tahu dia kat mana. Mana dia?”
Soalan tersebut disertakan dengan lenggok
gaya manja menggoda, namun bagi Afiq itulah gaya paling memualkan dalam dunia.
“ Kalau aku aku
tak tau?”
Kali ini giliran Arysha mendengus. Huh,
orang tanya tu jawab je la. Ni nak belok sana-sini. Gerutu Arysha.
“Whatever!
Sekarang I cuma nak tahu, mana Safwan? I tau dia tak datang perjumpaan tadi!”
Afiq merengus.
“So, apa kaitan
dengan kau?”
Arysha mengetap bibir geram. Lelaki itu
sengaja menguji kesabarannya.
“Just tell me,
where is he now!”
Afiq memandang sinis ke arah Arysha.
“Kau tak payah
nak sibuklah! Sekarang dah pukul 4.50, mestilah dia dah balik. Kau tu, dah
solat asar ke belum?!”
Afiq cuba mengawal volume suaranya yang
hendak meninggi itu. Arysha menjadi bengang. Lelaki itu menyindirnya.
“Suka hati I la
kalau I nak sibuk sekali pun. You peduli apa?!”
Oo... aku peduli apa. Nanti kau! Afiq
buat pekak. Dia terus berjalan tanpa menghiraukan Arysha. Arysha membuntang.
Segera tangan sasa itu ditarik.
“Wait! I tak
habis lagi dengan you!”
“Jangan sentuh
aku!”
Afiq merentap tangannya. Memang pantang
kalau dia disentuh oleh mana-mana perempuan bukan mahramnya. Habis batal
wudhu’nya tadi. Suhu kemarahannya semakin tinggi.
“Answer my
question, Afiq!”
Arysha menegaskan soalannya.
“Suka hati
akulah nak jawap ke tak!”
Afiq lantas melajukan langkahnya.
Arysha mengikutinya sambil menghentak-hentak kasut tumit tinggi lima incinya.
Silap hari bulan boleh patah tumit kasut tu. Arysha terus mendesak Afiq. Tapi
Afiq buat derk je.
“Afiq, just
answer me!”
Arysha merengus untuk kesekian kalinya.
Afiq yang sudah berada di atas Ducati Hunter itu menaikkan cermin helmetnya.
Wajah Arysha dipandang tajam. Arysha sudah terdiam. Nafasnya tercungap-cungap
kerana asyik membebel dan marah.
“Jangan harap!”
Serentak itu minyak diperah, meninggalkan
Arysha yang terbatuk-batuk kerana terpaksa menelan asap Ducati Hunter tersebut.
“AFIQ RAYYAN!!!”
SAFWAN terduduk di bangku hospital. Wad di
hadapannya itu dipandang sayu. Dia kepenatan. Wajahnya dibenamkan ke tapak
tangan yang ditongkatkan di lututnya. Safwan melafazkan zikrullah yang mudah
untuk menenangkan dirinya.
‘Subhanallahiwabihamdih...
Subhanallahilla’zim...’
Matanya turut dipejamkan, cuba untuk
menghayati kalimah tersebut. Setelah agak tenang, Safwan meraup mukanya
beberapa kali. Sedikit sebanyak zikrullah itu dapat menenangkan hatinya.
“Dia dah okey?”
Safwan tersentak. Dia menoleh. Afiq kini berdiri disebelahnya. Entah sejak bila
dia berada disitu. Safwan menghelakan nafas.
Afiq mengambil tempat disebelah Safwan.
Kalau Safwan tak menjawab maksudnya memang tak. Dia memang dah arif sangat
tabiat sahabat baiknya merangkap saudaranya itu. Dia mengerling jam tangannya.
Dah pukul 5.50 petang.
“Kau dah solat
asar belum?” soal Afiq sekali gus memandang wajah Safwan.
Safwan diam lagi. Afiq melepaskan
keluhan. Pandangannya bertukar ke arah pintu wad di hadapannya itu.
“Solatlah dulu.
Dah nak pukul enam dah. Jangan risau, aku ada. Aku boleh tengok-tengokkan dia
sekejap.”
Afiq memujuk. Safwan akur.
“Thanks Fiq.”
Ujarnya sambil menepuk bahu sahabatnya
itu. Afiq hanya memandang Safwan. Safwan lantas bangun dan menyusun langkah menuju ke surau hospital. Di
saat wajahnya dibasahi air wudhu’, dia sangat menyesal kerana melengahkan
tugasnya sebagai orang Islam.
Safwan sedaya upaya menumpukan perhatian
kepada solatnya agar dia boleh khusyuk. Dia melupakan sebentar masalahnya
sewaktu menghadap Yang Esa. Selepas solat, dia tidak lupa menitipkan doa. Doa
yang sering dibaca setiap kali selepas solat.
“AWAK tak perlu risau. Keadaan pesakit
semakin stabil. Jururawat kami akan menjaganya.” Ujar Dr. Naim kepada Safwan.
Alhamdulillah.... luah hatinya. Afiq disebelahnya juga turut melafazkan kalimah
yang sama.
“Doktor, macam
mana rekod kesihatan dia sebelum ni?” Afiq bertanya. Dia yakin, Safwan juga
ingin mengetahuinya.
Dr. Naim tersenyum. Sudah dijangka
bahawa soalan itu akan ditanya.
“Setakat ni,
tiada apa-apa perubahan yang positif. Pesakit banyak termenung. Keadaannya
semakin teruk.” Ulasnya ringkas. Safwan terdiam. Afiq mendiam.
“Tak ada cara
lain ke doktor supaya dia sembuh?” Safwan bertanya, getaran suara cuba
disembunyikan.
Dr. Naim membetulkan cermin matanya yang
agak melorot sebelum menjawab.
“Satu-satunya
cara yang tinggal ialah keinginan. Sekarang, walau apa pun cara yang digunakan,
tapi kalau pesakit sendiri tiada keinginan ingin sembuh, tak berguna juga.
Pesakit sendiri tak nak sembuh.
Saya rasa kamu berdua pun tahu, untuk
melakukan sesuatu, perkara pertama yang diperlukan ialah keyakinan dan
keinginan. Keyakinan dan keinginan itu sangat penting. Yang kedua, kekuatan
sokongan.
Kalau dia ada keyakinan dan keinginan tapi
orang yang menyokongnya lemah, pun tak guna juga. Dia akan turut lemah kalau
orang yang menyokongnya lemah.”
Penerangan Dr. Naim itu sudah cukup
membuatkan dirinya terdiam. Safwan mengangguk perlahan.
“Doktor, boleh saya nak tengok dia kejap
sebelum saya balik?” Safwan meminta izin.
Dr. Naim menganggukkan kepalanya. Safwan
mengucapkan terima kasih sebelum doktor itu berlalu. Kemudian lelaki itu melangkah
masuk ke dalam wad. Afiq hanya menanti di laur. Tidak mahu masuk bersama kerana
tidak mahu menganggu masa mereka.
Safwan memerhatikan sekujur tubuh yang
sedang terbaring. Wajahnya yang kelihatan tenang itu dipandang sayu. Dia
mencapai tangan itu lalu digenggam kemas.
“Farhin, kenapa
kau tak nak sembuh? Kau tak sayangkan Along ke? Along sayangkan kau dik. Along
sangat sayangkan kau. Kau je yang Along ada sekarang. Jangan tinggalkan Along,
mama dengan papa dah tinggalkan kita. Jangan terlalu ikutkan perasaan Farhin.
Masih banyak perkara yang boleh kita buat.”
Sebak suaranya cuba ditahan. Safwan
mengusap ubun-ubun milik adiknya. Dia mengucup ubun-ubun itu penuh kasih. Air
matanya ditahan daripada mengalir. Sungguh, adiknya itulah yang dia ada kini.
Wajah itu sekali lagi direnung penuh kasih sebelum berlalu.
KAWASAKI Ninja RR itu
diparkir di bahu jalan. Diikuti dengan Ducati Hunter. Mereka turun
daripada tunggangan mereka. Helmet dibuka dan diletakkan di atas seat
motosikal tersebut. Masing-masing bersandar pada motosikal sendiri.
Jelas terbentang pemandangan kota
metropolitan di hadapan mereka. Lampu-lampu yang menerangkan kota dari setiap
bangunan di waktu malam itu kelihatan indah. Namun keindahan itu tidak sedikit
pun dapat mengusik jiwa Safwan.
“Untung Farhin
ada abang macam kau.” Ujar Afiq. Matanya tidak lepas memandang suasana kota
itu.
Safwan menoleh. Namun seketika cuma,
kemudian kembali memandang panorama dihadapannya.
“Kalau kau pun,
kau akan buat perkara yang sama.” Giliran Safwan berkata.
Afiq mengangguk perlahan, tanda mengiyakan
kata-kata Safwan.
“Perjumpaan tadi
macam mana?”
Oh, lupa pulak. Afiq segera
mengeluarkan sekeping kertas yang terlipat kemas dari pokt seluarnya. Kertas
itu bertukar tangan. Safwan membaca satu persatu.
“Aktiviti
perkhemahan?”
Safwan terhenti di situ. Afiq
mengangguk.
“Kat mana?”
Afiq angkat bahu sebelum berkata.
“Belum decide
lagi. Aku tak tau nak pilih tempat kat mana.”
Ujar Afiq. Safwan kerut dahi.
“Apesal kau
pulak yang kena pilih tempat? Bukan Perwakilan Pelajar ke yang kena piliih?”
Kertas di tangan dipandang berkali-kali.
“Dah aku bagi
cadangan. Aku lah yang kena cari tempat.”
Safwan tergelak sambil tergeleng-geleng. Tau
sangat kenapa. Eh, apa ni? Mata Safwan tertancap pada sebuah senarai.
“Ciri?”
Afiq mengangguk. Dia masih ingat akan
ciri-ciri yang disebutkan Adam.
“Untuk cari
tempat aktiviti.”
Jawapnya malas. Safwan kembali membelek senarai
tersebut.
“Mesti tempat
yang menarik.”
Afiq berkata. Dia masih ingat ciri yang
diberikan.
“Boleh buat
macam-macam aktiviti.”
Sambung Safwan. Membaca dari senarai di
tangan.
“Termasuk
aktiviti darat dan air.”
Afiq menyambung.
“Tak nak tempat
yang ramai pelancong.”
Giliran Safwan bersuara.
“Sebab nanti
susah nak buat aktiviti.”
Afiq memasukkan tangannya di dalam poket
jaket kulitnya. Sejuk malam menyapa tangannya.
“Selamat dari
binatang buas?!”
Safwan tergamam. Apa, Adam ingat Afiq
ni nak suruh berkhemah kat hutan Amazon ke? Dahinya berkerut seribu.
“And the most
is.....” Afiq berjeda seketika. Satu
helaan nafas ditarik.
“Dapat tampung
semua peserta.”
Mereka berkata serentak. Meletus ketawa
dari mulut Safwan. Senarai itu memang menggelikan hatinya. Adam, Adam.
Kepalanya tergeleng-geleng.
Hampeh kau Wan. Afiq memasamkan muka.
Sampai hati sahabat baiknya merangkap saudaranya itu mentertawakannya.
“So, suggestion
kau?”
Safwan bertanya dalam sisa tawanya yang
cuba ditahan. Afiq mengangkat bahu. Safwan melipat kertas tersebut dan
memasukkan ke dalam poket seluarnya.
“Tempat yang
menarik tapi tak ramai pelancong?”
Afiq mengulang.
“Tapi boleh buat
macam-macam aktiviti.” Safwan menyambung.
Eh? Mereka serentak memetik jari.
Memang ada!
“Pulau Gerimis
Cahaya!”
Jari dituding antara satu sama lain. Tawa
mereka meletus. Sungguh mereka terlupa tentang pulau itu.
“Lama aku tak
pergi sana.” Tutur Afiq. Sisa tawanya cuba dihabiskan.
Safwan memandangnya. Dia kini
tersenyum setelah tawanya agak reda.
“Last kau pergi
sana dua tahun lepas kan?” soalnya.
Afiq mengangguk.
“Ha’ah. Pulau tu
dekat dengan Kampung Mutiara Beringin. Kat Terengganu.” Afiq mengingati lokasi
pulau tersebut.
Safwan kembali memandang panorama
malam dihadapannya itu.
Afiq memandang ke langit. Fikirannya
serta-merta teringat Tok Gurunya. Lama tak jenguk dia. Hati kecilnya berkata.
Dia mengerling jam di tangannya. Hampir pukul sebelas. Uiks, dekat satu jam
kitorang kat sini rupanya.
Afiq mencapai helmet full facenya lalu
dipakai. Cermin helmet tersebut turut dinaikkan. Kunci Ducati Hunter itu
diputar. Safwan menoleh tatkala deruman enjin kedengaran.
“Nak balik dah
ke?”
Matanya tidak lepas memandang wajah
Afiq. Afiq mengangguk.
“Dah nak pukul
sebelas wei. Kau tak nak balik ke?”
Afiq memerah minyaknya berkali-kali.
Memang tabiat orang bermotor besar agaknya perah-perah minyak ni.
“Yalah.”
Safwan akur.
“Kau balik mana
ni?” Afiq bertanya kembali.
Safwan menggaru kepalanya yang tidak
gatal.
“Aku tidur kat
penthouse.” Ujarnya kembali.
“Tidur rumah aku
jelah. Lagipun kau pun dah lama tak jumpa Pak Su dan Mak Su, kan? Jomlah.” Afiq
mengajak.
Safwan terdiam. Tak lah lama sangat.
Baru dua minggu je kot, bukan dua tahun. Safwan akur. Helmet dicapai. Setelah
menghidupkan enjin Kawasaki Ninja RRnya, dia memberi isyarat kepada Afiq agar
mendahului.
Afiq menurunkan cermin helmetnya dan
memecut laju membelah jalan raya diikuti dengan Safwan.
BAB 4
KOPI hangat di dalam cawan dihirup perlahan
Kehangatan kopi itu sedikit sebanyak menghangatkan tubuhnya yang disapa
kesejukan malam. Matanya memandang langit. Cawan kopi diletakkan kembali.
“Semalam mak
telefon dari kampung.”
Kedengaran suara Puan Sri Azyan menyapa
gegendang telinganya. Tan Sri Syakir Ilyas menoleh. Entah bila isterinya itu
berada di sebelah, dia tidak pasti.
“Diorang cakap
pasal keputusan budak tu ke?” soalnya.
Puan Sri Azyan menggosok lengannya yang disapa angin malam.
Kepala dianggukan.
“Macam mana?”
Tan Sri Syakir Ilyas bertanya pendek.
“Macam yang kita
nakkan.” Sambut Puan Sri Azyan tanpa nada.
Tan Sri Syakir Ilyas mengangguk
perlahan.
“Dia akan masuk
Universiti Tun Mahkota.” Ujar Puan Sri Azyan.
Tan sri Syakir Ilyas memandangnya. “Awak
yakin ke dia akan ikut?” Puan Sri Azyan menoleh.
“Dia tak akan bantah
arahan saya.”
Tan Sri Syakir Ilyas mengeluh perlahan. Ya,
‘budak’ tu takkan bantah arahan isterinya.
“Bulan enam
abang pergi Melaka kan?” soal Puan Sri Azyan.
Tan Sri Syakir Ilyas menganggukkan
kepalanya. Kenapa pula isteri aku tetiba tanya.
“Saya ikut
abang.” Pintaya.
Tan Sri Syakir Ilyas kaget sebenar.
“Nak buat apa?
Abang pergi untuk urusan kerjalah.”
Puan Sri Azyan mencuka. Hish, takkan
laki aku ni tak faham?!
“Abang, dia akan
masuk bulan enam ni. Jadi, sebelum pendaftaran, mestilah dia kena datang awal
sehari. Dan tentu-tentulah dia akan tidur kat sini. Saya tak nak jumpa dia!”
Puan Sri Azyan bernada tegas.
Lagi sekali sebuah keluhan dilepaskan
oleh Tan Sri Syakir Ilyas.
“Mak dengan ayah
mestilah ikut dia sekali. Takkan awak tak nak jumpa diorang? Kan kita dah lama
tak balik kampung.” Pendapatnya diutarakan.
Puan Sri Azyan tertawa sinis.
“Kalau budak tu
ada, saya takkan jumpa diorang. Sakit hati bila pandang muka dia.” Gerutu Puan
Sri Azyan dengan anda geram. Masih segar diingatannya tentang sejarah hiam
keluarganya.
Tan Sri Syakir Ilyas menggeleng beberapa
kali. Azyan, Azyan. Bukankah memaafkan itu lebih baik daripada berdendam?
Keluhan kecil dilepaskan. Bukan dia tidak menegur, tetapi hati isterinya itu
bagaikan telah ikut mati semenjak sembilan tahun lalu. Segala nasihatnya
bagaikan mencurah air ke daun keladi.
Ya, dia akui kejadian itu turut memberi
kesan yang mendalam terhadap dirinya. Namun, dia percaya. Setiap yang berlaku
itu ada hikmahnya. Segalanya telah Allah tentukan di Luh Mahfuz.


No comments:
Post a Comment